Pages

Tuesday, October 28, 2014

Hutang Kerajaan Persekutuan dari 2010 hingga Jun 2014

Petikan akhbar BHOnline:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2014 adalah sebanyak RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, 97.1 peratus atau RM552.7 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.2 bilion atau 2.9 peratus merupakan pinjaman luar pesisir.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan hutang kerajaan itu kekal terurus di bawah 55 peratus daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Najib berkata hutang Kerajaan Persekutuan tahun lepas adalah sebanyak RM547.6 bilion atau 54.7 peratus daripada KDNK, manakala bagi 2012 pula sebanyak RM501.6 bilion atau 53.3 peratus daripada KDNK.
"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2010 adalah sebanyak RM407.1 bilion atau 51.1 peratus daripada KDNK (dan) 2011 sebanyak RM456.1 bilion atau 51.5 peratus," katanya.
Najib berkata sehingga kini, kerajaan telah membayar balik semua hutang dan bayaran khidmat hutang dengan teratur serta mengikut jadual.
Beliau berkata, ia merupakan hasil daripada pengurusan hutang secara berhemat apabila pinjaman dibuat hanya untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan setelah mengambil kira kemampuan membayar balik.
"Bayaran khidmat hutang, yang merujuk kepada bayaran faedah ke atas pinjaman merupakan bayaran tanggungan mandatori yang perlu diberi keutamaan.
"Bayaran khidmat hutang dijangka kekal terurus pada 10.3 peratus daripada hasil, masih jauh di bawah paras 15 peratus seperti yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal," kata beliau.
- BERNAMA

Hutang Kerajaan Persekutuan
2010: RM407.1 bilion atau 51.1 peratus daripada KDNK
2011: RM456.1 bilion atau 51.5 peratus daripada KDNK
2012: RM501.6 bilion atau 53.3 peratus daripada KDNK
2013: RM547.6 bilion atau 54.7 peratus daripada KDNK
 2014 (setakat akhir Jun): RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada KDNK
KDNK boleh dianggap sebagai pendapatan sesebuah negara itu seperti gaji bagi individu.
Jika kita lihat dari tahun 2010 hingga 2014, hutang kerajaan bertambah dari tahun ke tahun. Walaubagaimanapon, ada positif apabila kita lihat peratus hutang negara berbanding KDNK pada 2014 (setakat Jun) menurun berbanding peratus yang meningkat dari 2010 ke tahun 2013. Harap peratus ini dapat dikekalkan atau diperbaiki hingga ke hujung tahun dan pada tahun-tahun akan datang.

1 comment: